Total Pageviews

Friday 16 November 2012

PDK BAU, SARAWAK




PDK BAU adalah Pusat Dalam Komuniti yang paling tua di Daerah Bau. Ianya ditubuhkan pada 18 Jun 2003. Tapak pertama PDK BAU adalah di Flat Majlis Daerah Bau, Jalan Bangalow, dan berpindah ke tapak sekarang pada April 2008. Pada tahun 2012, PDK Bau mempunyai seramai 13 orang petugas ( staf ) dan seorang penyelia. Jumlah pelajar dibawah PDK Bau untuk tahun 2012 adalah seramai 74 orang , dan kesemua mereka terdiri daripada pelbagai agama,bangsa dan keturunan. Malahan mereka juga dari peringkat usia seawal 3 bulan. Dalam bilangan 74 orang tersebut, seramai 15 orang daripada mereka mendapat rawatan dirumah sahaja, di mana petugas akan pergi melawat dan memberi pemulihan dan rawatan di rumah.



Objektif PDK Bau, Sarawak :
1.     Menggalakkan sikap perihatin, berdikari dan rasa tanggungjawab masyarakat tempatan dalam program pemulihan orang kurang upaya ( OKU )
2.    Mengeksploitasikan sumber tempatan untuk pemulihan OKU.
3.    Menggalakkan penggunaan cara yang mudah dan teknik yang diterima, murah, efektif dan sesuai dengan keadaan setempat.
4.    Menggunakan infrastruktur organisasi tempatan yang sedia ada untuk memberi perkhidmatan.
5.    Mengambil kira sumber ekonomi Negara dan membolehkan untuk diperluaskan perkhidmatan yang menyeluruh mengikut keperluan OKU.


Thursday 15 November 2012

Pengenalan Intervensi Awal Kanak-Kanak Khas


Intervensi awal merupakan satu program berstruktur yang sangat kritikal dalam membantu mempertingkatkan pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak berkeperluan khas seawal umur kelahiran sehingga umur persekolahan. Ia dijalankan dengan berkesan melalui pasukan pelbagai disiplin serta turut menyokong kepada keluarga kanak-kanak berkaitan.

Intervensi awal ialah satu proses membekalkan perkhidmatan, pendidikan dan sokongan kepada kanak-kanak yang berisiko atau yang mengalami kelambatan dalam perkembangan fizikal atau mental yang akan mempengaruhi perkembangan dan menghalang pembelajaran. Perkhidmatan atau program intervensi awal yang disediakan adalah untuk memenuhi keperluan kanak-kanak dan keluarga yang berkeperluan khas dalam lima bidang perkembangan, iaitu perkembangan fizikal, kognitif, komunikasi, sosial dan emosi dan adaptasi (Sandler, Brazdziunas, Cooley & De Pijem 2001) melalui pelbagai terapi atau perkhidmatan, seperti terapi cara kerja, terapi fisio, terapi pertuturan dan khidmat sokongan untuk keluarga (Addison 2003).

Menurut Majnemer (1998), intervensi awal boleh mengurangkan kesan kelambatan perkembangan yang dialami, malah boleh mengelakkannya daripada menjadi semakin serius. Selain itu, intervensi awal juga boleh memaksimumkan potensi kanak-kanak berkeperluan khas dan mengurangkan bebanan masyarakat. Addison (2003) merumuskan beberapa pengaruh positif intervensi awal ke atas kanak-kanak berkeperluan khas. Antaranya termasuklah kemajuan kanak-kanak dalam pelbagai perkembangan pada tahap tertentu, mengelakkan atau mengurangkan masalah susulan, mengurangkan tekanan keluarga dan keperluan pendidikan khas bagi kanak-kanak berkeperluan khas. Guralnick (1997) berpendapat bahawa intervensi awal ialah satu sistem yang dibentuk untuk menyokong bentuk interaksi keluarga supaya perkembangan kanak-kanak tidak terganggu.

Wolfendale (1997) mengemukakan empat tujuan utama intervensi awal. Pertama, intervensi awal bertujuan untuk membekalkan sokongan kepada keluarga supaya berupaya menyokong perkembangan kanak-kanak. Kedua, intervensi awal adalah untuk meningkatkan perkembangan kanak-kanak dalam bidang utama seperti komunikasi dan mobiliti. Ketiga adalah untuk meningkatkan keyakinan kanak-kanak, dan keempat adalah untuk mengelakkan berlakunya masalah pada masa hadapan. Oleh itu, tidak dapat dinafikan bahawa intervensi awal memainkan peranan yang sangat penting dalam kalangan kanak-kanak berkeperluan khas, termasuklah kanak-kanak bermasalah pembelajaran.

Intervensi awal juga bertujuan untuk mengurangkan kesan sesuatu kurang upaya kepada pembelajaran dan untuk mengelakkan  menjadi lebih ketara apabila kanak-kanak memasuki sekolah rendah. Selain itu, pusat ini juga memberi perkhidmatan awal bagi rawatan, pemulihan, bimbingan, khidmat nasihat, gabungan pendidikan, penjagaan diri, interaksi sosial, perkembangan kemahiran motor dan sebagainya kepada kanak-kanak dan juga keluarga sebaik sahaja  sesuatu kecacatan dapat dikesan. Menurut Hanson & Lynch (1989), intervensi awal diberikan kepada kanak-kanak berkeperluan khas sejak lahir hingga berusia 6 tahun adalah penting. Ia terdiri daripada gabungan usaha pendidikan, pemakanan, perkembangan kemahiran motor, penjagaan kendiri, interaksi sosial dan sokongan keluarga.