Intervensi awal merupakan satu program berstruktur
yang sangat kritikal dalam membantu mempertingkatkan pertumbuhan dan
perkembangan kanak-kanak berkeperluan khas seawal umur kelahiran sehingga umur
persekolahan. Ia dijalankan dengan berkesan melalui pasukan pelbagai
disiplin serta turut menyokong kepada keluarga kanak-kanak berkaitan.
Intervensi
awal ialah satu proses membekalkan perkhidmatan, pendidikan dan sokongan kepada
kanak-kanak yang berisiko atau yang mengalami kelambatan dalam perkembangan
fizikal atau mental yang akan mempengaruhi perkembangan dan menghalang
pembelajaran. Perkhidmatan atau program intervensi awal yang disediakan adalah
untuk memenuhi keperluan kanak-kanak dan keluarga yang berkeperluan khas dalam
lima bidang perkembangan, iaitu perkembangan fizikal, kognitif, komunikasi,
sosial dan emosi dan adaptasi (Sandler, Brazdziunas, Cooley & De Pijem
2001) melalui pelbagai terapi atau perkhidmatan, seperti terapi cara kerja,
terapi fisio, terapi pertuturan dan khidmat sokongan untuk keluarga (Addison
2003).
Menurut
Majnemer (1998), intervensi awal boleh mengurangkan kesan kelambatan
perkembangan yang dialami, malah boleh mengelakkannya daripada menjadi semakin
serius. Selain itu, intervensi awal juga boleh memaksimumkan potensi
kanak-kanak berkeperluan khas dan mengurangkan bebanan masyarakat. Addison
(2003) merumuskan beberapa pengaruh positif intervensi awal ke atas kanak-kanak
berkeperluan khas. Antaranya termasuklah kemajuan kanak-kanak dalam pelbagai
perkembangan pada tahap tertentu, mengelakkan atau mengurangkan masalah
susulan, mengurangkan tekanan keluarga dan keperluan pendidikan khas bagi
kanak-kanak berkeperluan khas. Guralnick (1997) berpendapat bahawa intervensi
awal ialah satu sistem yang dibentuk untuk menyokong bentuk interaksi keluarga
supaya perkembangan kanak-kanak tidak terganggu.
Wolfendale (1997) mengemukakan empat tujuan utama
intervensi awal. Pertama, intervensi awal bertujuan untuk membekalkan sokongan
kepada keluarga supaya berupaya menyokong perkembangan kanak-kanak. Kedua,
intervensi awal adalah untuk meningkatkan perkembangan kanak-kanak dalam bidang
utama seperti komunikasi dan mobiliti. Ketiga adalah untuk meningkatkan
keyakinan kanak-kanak, dan keempat adalah untuk mengelakkan berlakunya masalah
pada masa hadapan. Oleh itu, tidak dapat dinafikan bahawa intervensi awal
memainkan peranan yang sangat penting dalam kalangan kanak-kanak berkeperluan
khas, termasuklah kanak-kanak bermasalah pembelajaran.
Intervensi
awal juga bertujuan untuk mengurangkan kesan sesuatu kurang upaya kepada
pembelajaran dan untuk mengelakkan menjadi lebih ketara apabila
kanak-kanak memasuki sekolah rendah. Selain itu, pusat ini juga memberi
perkhidmatan awal bagi rawatan, pemulihan, bimbingan, khidmat nasihat, gabungan
pendidikan, penjagaan diri, interaksi sosial, perkembangan kemahiran motor dan
sebagainya kepada kanak-kanak dan juga keluarga sebaik
sahaja sesuatu kecacatan dapat dikesan. Menurut Hanson &
Lynch (1989), intervensi awal diberikan kepada kanak-kanak berkeperluan khas
sejak lahir hingga berusia 6 tahun adalah penting. Ia terdiri daripada gabungan
usaha pendidikan, pemakanan, perkembangan kemahiran motor, penjagaan kendiri,
interaksi sosial dan sokongan keluarga.
No comments:
Post a Comment