Total Pageviews

Saturday, 12 November 2011

Kaedah KODALY Dalam PEMBELAJARAN MUZIK

Kaedah Kodaly (1882-1967) adalah satu paradigma pendidikan
muzik yang menggunakan aktiviti nyanyian dan keupayaan
pendengaran dalaman oleh kanak-kanak. Kodaly menyarankan
penggunaan lagu-lagu rakyat / tempatan menggunakan bahasa
ibunda dalam aktiviti latihan nyanyiannya. Beliau tidak
menggunakan sistem gred seperti yang sering digunakan
dalam kaedah pengajaran piano atau alat muzik lain.


Sasaran kaedah Kodaly ialah untuk membantu kanak-kanak
dalam literasi muzik. Ini dilakukan dengan penggunaan
beberapa pendekatan yang berpusatkan kanak-kanak itu
sendiri, iaitu penggunaan latihan irama, latihan nyanyian solfa,
latihan bacaan semerta, latihan mendengar, menulis, membuat persembahan dan mencipta
muzik. Kemahiran literasi muzikal turut dibina melalui pengalaman latihan aural dan
pengalaman ingatan visual.



Menurut Kodaly, terdapat tiga turutan konsep dalam pembelajaran literasi bahasa, iaitu (1)
Peringkat AURAL : kanak-kanak mula belajar menghasilkan bunyi dan ton semasa mereka
bercakap (dalam kemahiran berbahasa). (2) Peringkat MENULIS : Setiap kali satu
perkataan difahami, perkataan dan pic boleh ditranskripsikan melalui penulisan atau
perlambangan. (3) Peringkat MEMBACA : Kanak-kanak membina keupayaan membaca. Ketiga-tiga peringkat ini juga turut digunakan dalam kaedah Kodaly.

Kunci asas dalam kaedah Kodaly ialah penggunaan ekspresi tubuh dalam muzik.
Seterusnya, tambahan kepada nyanyian dan detik ialah dengan menggunakan hujung kaki
(step) untuk menandakan detik muzik. Mereka juga diajar bagaimana untuk menepuk irama
daripada sukukata, dan berfikir (membayangkan) sukukata semasa menepuk irama.



REFLEKSI 

Bagi kaedah Kodaly ini, ia adalah salah satu aktiviti muzik yang menjadi kegemaran murid-murid saya . Bagi mereka latihan nyanyian solfa dengan isyarat tangan adalah suatu aktiviti yang menyeronokkan kerana lain daripada subjek lain yang mereka pelajari.  Ketika mula-mula saya mengajar murid-murid mengenal bahasa muzik ini, mereka telah menunjukkan sikap yang positif. Malahan sebelum ini mereka belajar muzik hanyalah menyanyi, menari dan bermain alatan muzik. Tidak pernah sekali pun didedahkan dengan kaedah Kodaly ini.  Oleh sebab itu, saya merasakan telah mencipta sejarah. Kesimpulannya, bagi mengekalkan penguasaaan murid-murid tentang pembelajaran ini, setiap sebelum memulakan p&p, saya akan menjadikan aktiviti nyanyian solfa dengan isyarat tangan ini sebagai SET INDUKSI .

Thursday, 10 November 2011

Nyanyian syahdu,LAGU dan IRAMA..kasihnya IBU membawa ke SYURGA!

 -Susu Terakhir buat si kecil-


Kisahnya perihal satu keluarga yang mengalami kemalangan ngeri. Kereta yang mereka naiki terbabas, berpusing, melanggar pembahagi jalan lalu terperosok ke dalam longkang. Dalam kejadian ini, kereta itu remuk teruk dan penumpangnya mengalami kecederaan parah. Cermin hadapan habis retak berderai. Tidak ditekankan keadaan pemandunya. Tetapi saya fikir, pemandunya menemui ajal di situ juga.

Mahu diceritakan, penumpang yang duduk di sebelah pemandu mengalami kecederaan yang sangat parah. Wajahnya habis berlumuran darah. Dahinya terkopek sehingga menonjolkan tulang tengkorak. Mungkin juga akibat terhantuk pada papan pemuka kereta ditambah dengan pecahan kaca cermin hadapan. Ajaibnya kuasa Tuhan, bayinya selamat tetapi terpelanting ke kerusi belakang. Bayi kecil yang tidak tahu apa-apa itu meraung dan menangis. Mungkin kerana kesakitan, kesedihan, terkejut dan sebagainya.

Sewaktu anggota bomba itu mengambil dan mahu menyelamatkan si kecil tadi, ibunya terketar-ketar dan menggigil sambil memberi isyarat kepada beliau. Subhanallah, rupa-rupanya si ibu tadi mahukan bayinya bagi disusukan. Diselak bajunya dengan sedaya upaya dan disusukan si kecil itu dengan penuh rasa sayu, pilu dan kasih sayang.

Si kecil senyap di dalam dakapan ibunya. Betapa nyamannya dakapan ibu itu sehingga mampu menenangkan si kecil yang ketakutan. Dengan kuasa dan izin Allah, ibu itu tiba-tiba tercungap-cungap mencari nafas, tanda ajalnya yang semakin hampir. Lalu terkapailah si ibu dalam keadaan yang penuh rasa tanggungjawab dan kasih sayang itu. Ya Allah, betapa pilunya situasi itu sehingga merenggut ketenangan anggota bomba tadi.

Itu lah dia kasih sayang seorang ibu. Walau dalam keadaan bertarung nyawa dan menahan kesakitan, masih tidak melupakan tanggungjawab sebagai seorang ibu...menyusukan anak di saat-saat akhir hidup nya. Subhanallah...

Wednesday, 9 November 2011

Sekadar cerita ...Tiada IRAMA dan LAGU...

Kisah 4 orang isteri - JAGALAH YANG PERTAMA

Suatu ketika, ada seorang pedagang kaya yang mempunyai empat orang isteri. Dia mencintai isteri yang keempat dan memberikan harta dan kesenangan yang banyak. Sebab, isteri keempat adalah yang tercantik di antara kesemua isterinya. Maka, tidak hairan lelaki ini sering memberikan yang terbaik untuk isteri keempatnya itu.
Pedagang itu juga mencintai isterinya yang ketiga. Dia sangat bangga dengan isterinya ini, dan sering berusaha untuk memperkenalkan isteri ketiganya ini kepada semua temannya. Namun dia juga selalu bimbang kalau-kalau isterinya ini akan lari dengan lelaki yang lain.
Begitu juga dengan isterinya yang kedua. Dia juga sangat menyukainya. Dia adalah seorang isteri yang sabar dan penuh pengertian. Bila-bila masa pun apabila pedagang ini mendapat masalah, dia selalu meminta pandangan isterinya yang kedua ini. dialah tempat bergantung. Dia selalu menolong dan mendampingi suaminya melalui masa-masa yang sulit.
Sama halnya dengan isterinya yang pertama. Dia adalah pasangan yang sangat setia. Dia sering membawa kebaikan bagi kehidupan keluarga ini. dialah yang merawat dan mengatur semua kekayaan dan usaha si suami. Akan tetapi si pedangang tidak begitu mencintainya. Walaupun isteri pertamanya ini begitu sayang kepadanya namun, pedagang ini tidak begitu memperdulikannya.
Suatu ketika, si pedagang sakit. Kemudian dia menyedari mungkin masa untuknya hidup tinggal tidak lama lagi. Dia mula merenungi semua kehidupan indahnya, dan berkata dalam hati, “Saat ini, aku punya empat orang isteri. Namun, apabila aku meninggal, aku akan sendiri. Betapa menyedihkan jika aku harus hidup sendiri.”
Lalu dia meminta semua isterinya datang dan kemudian mulai bertanya pada isteri keempatnya, “Kaulah yang paling kucintai, kuberikan kau gaun dan perhiasan yang indah. Nah sekarang, aku akan mati, mahukah kau mendampingiku dan menemaniku?” Isteri keempatnya terdiam. “Tentu saja tidak!” jawab isterinya yang keempat, dan pergi begitu sahaja tanpa berkata-kata lagi. Jawapan itu sangat menyakitkan hati seakan-akan ada pisau yang terhunus dan menghiris-hiris hatinya.
Pedagang yang sedih itu lalu bertanya kepada isteri ketiganya, “Aku pun mencintaimu sepenuh hati, dan saat ini, hidupku akan berakhir. Mahukah kau ikut denganku, dan menemani akhir hayatku?”. Isteri ketiganya menjawab, “Hidup begitu indah di sini. Aku akan menikah lagi jika kau mati”. Pedagang begitu terpukul dengan jawapan isteri ketiganya itu.
Lalu, dia bertanya kepada isteri keduanya, “Aku selalu berpaling padamu setiap kali mendapat masalah. Dan kau selalu mahu membantuku. Kini, aku perlu sekali pertolonganmu. Kalau aku mati, mahukah kau ikut dan mendampingiku? ” Si isteri kedua menjawab perlahan, “Maafkan aku tak mampu menolongmu kali ini. Aku hanya boleh menghantarmu ke liang kubur saja. Nanti, akan kubuatkan makam yang indah buatmu.”
Jawapan itu seperti kilat yang menyambar. Si pedagang kini berasa putus asa.
Tiba-tiba terdengar satu suara, “Aku akan tinggal denganmu. Aku akan ikut ke manapun kau pergi. Aku, tak akan meninggalkanmu, aku akan setia bersamamu.” Si pedagang lalu menoleh ke arah suara itu dan mendapati isteri pertamanya yang berkata begitu. Isteri pertamanya tampak begitu kurus. Badannya seperti orang yang kelaparan. Berasa menyesal, si pedagang lalu berguman, “Kalau saja aku mampu melayanmu lebih baik pada saat aku mampu, tak akan kubiarkan kau seperti ini isteriku.”
Teman, sesungguhnya kita punya empat orang isteri dalam hidup ini;
ISTERI KEEMPAT adalah tubuh kita. Seberapa banyak waktu dan belanja yang kita keluarkan untuk tubuh kita supaya tampak indah dan gagah, semuanya akan hilang. Ia akan pergi segera apabila kita meninggal. Tak ada keindahan dan kegagahan yang tersisa saat kita menghadapNYA.
ISTERI KETIGA adalah status sosial dan kekayaan kita. Saat kita meninggal, semuanya akan pergi kepada yang lain. Mereka akan berpindah dan melupakan kita yang pernah memilikinya.
ISTERI KEDUA pula adalah kerabat dan teman-teman. Seberapa pun dekat hubungan kita dengan mereka, mereka tak akan mampu bersama kita selamanya. Hanya sampai kuburlah mereka akan menemani kita.
DAN SESUNGGUHNYA ISTERI PERTAMA adalah jiwa dan amal kita. Mungkin kita sering mengabaikan dan melupakannya demi kekayaan dan kesenangan peribadi. Namun, sebenarnya, hanya jiwa dan amal kita sajalah yang mampu untuk terus setia dan mendampingi kemanapun kita melangkah. Hanya amal yang mampu menolong kita diakhirat kelak. Jadi, selagi mampu, perlakukanlah jiwa dan amal kita dengan bijak. Jangan sampai kita menyesal kemudian hari!