Total Pageviews

Monday, 29 October 2012

KEMAHIRAN MENDENGAR



PENGENALAN
Mendengar merupakan salah satu daripada aktiviti yang penting yang dilakukan di peringkat kanak-kanak dan dewasa. Barker (1971) telah menjalankan satu kajian terhadap kemahiran pendengaran. Hasil daripada kajian itu, beliau merumuskan, dalam keadaan manusia itu sedar, 45% digunakan untuk mendengar, 30% bercakap, 16% membaca dan 9% menulis. Ini menunjukkan proses pendengaran berperanan penting dalam komunikasi. Burley-Alen (1982) dalam kajiannya mendapati peratus mendengar bertambah sehingga 60% bagi kehidupan pelajar sekolah menengah. Guru-guru menyatakan proses mendengar merupakan proses paling utama dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
Proses mendengar menjadi perkara utama bagi mahasiswa universiti. Ini kerana proses pengajaran di universiti biasanya secara kuliah dan pensyarah tidak memberi banyak peluang kepada mahasiswa untuk mengemukakan pertanyaan. Keadaan ini mengambarkan betapa perlunya seseorang mahasiswa mendengar bersungguh-sungguh ketika kuliah diberikan.
Anderson et al. (1969) menjelaskan bahawa sebahagian besar daripada kaedah pengajaran di universiti adalah dengan mendengar kuliah. Barker (1971:I) menyatakan bahawa proses pendengaran dalam pengajaran di universiti adalah antara 50% - 100%.



DEFINISI
Mengikut Chuah (1987) terdapat perbezaan yang besar antara proses mendegnar dan dengar. Ini bolehlah disamakan dengan penerangan Barker (1971) yang boleh dirumuskan sebagai mendengar adalah suatu proses yang aktif dan dengar adalah satu proses yang pasif.
Pendengaran yang aktif merangkumi proses mendengar dengan tujuan untuk memahami, mengingati, menilai dan mengkritik. Mengikut Chuah (1987) dengar adalah satu proses fisiologi yang melibatkan sistem saraf pendengaran di otak tetapi mendengar adalah satu proses yang lebih aktif, iaitu proses yang melibatkan bidang psikologi.
Mendengar secara aktif bukan sahaja tertumpu kepada penggunaan telinga, tetapi kepada kesemua pancaindera, terutama penglihatan, iaitu menerusi komunikasi tidak verbal.
Dari segi kaunseling, mendengar yang terbaik adalah dengan mendengar secara empati isitu mendengar dengan menjiwai apa yang didengar oleh sebab dari sini timbul celik akal. Apabila hal ini terhasil maka para pelajar akan mencapai tahap nirwana kendiri, yang akhirnya dapat merealisasi dan menggunakan keupayaan dan intelektual secara maksimum dalam proses pembelajaran.
Mendengar adalah perbuatan yang menggunakan organ telinga bersamping dengan saraf pendengaran di otak. Tetapi perbuatan ini mesti dilatih dengan betul supaya proses pendengaran dapat dilakukan dengan betul.

Devine (1981) menyatakan bahawa dengan mendengar bukan sahaja menumpukan sepenuhnya perhatian tetapi melibatkan motivasi dan keadaan fizikal emosi yang mempengaruhi proses pendengaran itu sendiri.
Proses mendengar berkait secara terus dengan proses berfikir. Berfikir dalam konteks ini melibatkan penggunaan proses mental dalam melakukan inference, mengagakkan hasil, generalisasi, organisasi dan dalam membuat rumusan.



KEMAHIRAN MENDENGAR
Dalam komunikasi lisan, kedua-dua kemahiran iaitu mendengar dan bertutur adalah terlibat, walaupun berhubung rapat antara satu sama lain, merupakan kemahiran yang berbeza.
Kemahiran mendengar adalah kemahiran lisan yang paling asas dan ia berlaku di peringkat penerimaan. Seseorang yang telah dapat menguasai kemahiran mendengar harus dapat mendengar dengan baik apa sahaja yang dituturkan oleh orang lain dan dapat pula memahami maksud serta boleh menginterpretasi apa yang didengar. Kemahiran mendengar ini dimulakan pada peringkat awal pengajaran bahasa dan bertujuan untuk memungkinkan pelajar fasih bertutur dalam bahasa yang dipelajari itu.


PROSES MENDENGAR
Proses mendengar boleh dibahagikan kepada empat peringkat:
a) Mendengar deretan bunyi bahasa
Individu mendengar bunyi dari unsur-unsur luar yang sengaja dihasilkan dengan maksud tertentu. Bunyi itu dapat didengar setelah ia dapat dikesan dari mana arah datangnya. Pada peringkat permulaan mendengar, hanya bunyi-bunyi yang jelas dan lantang sahaja yang dapat dikesan. Setelah mendegnar beberapa kali, barulah deretan bunyi itu didengar secara total. Proses ini hanya ditujukan kepada individu yang mempunyai alat artikulasi dan pancaindera dengar yang normal.

b) Memahami bunyi tersebut
Sesuatu bunyi yang didengar itu dikaitkan dengan maksud tertentu. Apabila deretan bunyi didengarkan dan diikuti dengan tingkah laku tertentu dari penutur, pendengar akan berhubungkaitkan tingkah laku tersebut dengan deretan bunyi tersebut. Dalam perkataan lain, pendengar akan menghubungkaitkan benda yang dimaksudkan, atau tingkah laku yang dilakukann dengan bunyi yang dilafazkan. Proses ini yang berukangkali dilakukan akan menjadi kebiasaan kepada pendengar.

c) Di peringkat ini pendengar menguasai makna beberapa deretan bunyi. Ia dapat memahami persamaan erti dan kelainan makna antara satu deretan bunyi dengan deretan bunyi yang lain, antara satu rangkai kata dengan satu rangkai kata yang lain dalam bahasa yang sama. Misalnya, bunyi yang menggunakan intonasi yang tinggi lagi keras menandakan perasaan marah. Bunyi yang menggunakan intonasi lemah melambangkan tanda manja, sedih, simpati dan sebagainya. Pendek kata, pendengar yang baik akan faham dan mengerti maksud setiap ujuran yang dilafazkan. Mereka bukan shaja boleh memaham malah boleh juga membuat interpretasi daripadanya.

d) Bertindak terhadap bunyi
Peringkat ini hanya akan terlaksana setelah pendengar melalui ketiga-tiga peringkat tadi. Waktu pendengar akan membuat rumusan dan keputusan. Ia akan melakukan sesuatu setelah arahan dalam bentuk deretan bunyi bahasa dilafazkan.

PENTINGNYA MENDENGAR DENGAN AKTIF

Weaver (1972) mengatakan terdapat beberapa faedah penting mendengar dengan aktif dn antaranya adalah seperti yang berikut:
i) Dengan mendengar secara aktif anda akan lebih banyak belajar.
ii) Anda akan lebih banyak mengetahui apa yang diberitahu dan menjadi lebih berpengalaman lagi.
iii) Anda akan menjadi seorang pendengar yang menyukai dan menghormati orang yang bercakap kepada anda.
iv) Dapat menberi tindak balas yang baik kepada orng yang sedang bercakap.
v) Anda akan menjadi orang yang lebih tidak bergantung pada pendapat orang lain. Anda akan mengikut arahan dengan lebih baik, rapi dan anda membuat sedikit kesilapan dan mengurangkan kesilapan-kesilapan kecuaian.
vi) Tidak menyentuh perasaan anda misalnya dalam masa perbincangan jika rakan anda berbincang tentang sesuatu tajuk dan anda tertinggal dan masih bertanyakan masalah yang sama akan memalukan diri sendiri.

Mengikut Barker (19710 terdapat tiga asas keuntungan daripada proses mendengar dengan aktif, iaitu:
i) mendengar membantu anda mengembangkan pengetahuan dan kemahiran.
ii) Dapat memajukan perkembangan perbendaharaan kata dan kemudahan berbahasa. Mendengar merupakan asas pertama dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
iii) Mendengar membolahkan anda melihat mesej yang penting dan tidak penting.

JENIS KEMAHIRAN MENDENGAR
Kemahiran mendengar boleh dibahagikan kepada dua jenis:

a) Mendengar secara intensif
Mendengar jenis ini dilakukan melalui latihan dan aktiviti yang formal yang biasanya dilaksanakan di bawah kelolaan dan pengawasan guru. Mendengar secara intensif boleh dibahagikan kepada dua jenis. Pertama ia menekankan kepada latihan yang berpusatkan kepada kefahaman makna secara terperinci. Kedua, ia menekankan kepada latihan mendengar bahasa yang dituturkan.

Latihan berpusatkan kepada kefahaman makna

Latihan yang berpusatkan kepada kefahaman makna secara terperinci boleh dijalankan dalam berbagai-bagai cara. Antaranya ialah:
i) Mendengar arahan
Murid-murid mendengar arahan yang diberi dan bertindak balas terhadapnya. Arahan itu boleh diberi oleh guru, ketua murid, guru besar, ketua darjah atau rakan-rakan mereka sendiri. Biasanya, murid-murid yang dapat mendengar dengan baik akan dapat memahami maksud yang didengarnya itu dan cepat dan dapat pula segera bertindak terhadapnya. Murid-murid seperti ini dapat menghasilkan sesuatu tindak balas secara tepat dan berkesan. Antara aktiviti yang boleh dijalankan ialah melengkapkan peta, membuat corak, mencari jalan pada peta sesebuah bandar dan sebagainya.

ii) Menjawab soalan kefahaman
Murid-murid mendengar soalan yang dikemukakan dan kemudian diminta mengenal pasti jawapan yang diperlukan. Jawapan-jawapan tersebut kemungkinan berbentuk fakta dan biasanya boleh diperoleh daripada petikan yang diberi. Berbagai-bagai aktiviti boleh dilakukan oleh murid-murid. Antaranya ialah memberi penerangan, memberi makna, membuat huraian, menyatakan sebab, menjelaskan sesuatu, membuat taksiran, membuat andaian interential, memberi komen dan sebagainya.

iii) Mendengar untuk mendapatkan maklumat
Dalam latihan ini perhatian murid-murid ditumpukan kepada bahagian-bahagian tertentu daripada apa yang mereka dengar. Latihan ini amat baik untuk melatih murid-murid mendengar dengan teliti maklumat-maklumat yang berkenaan sahaja dan mengenepikan yang lainnya. Banyak aktiviti yang boleh dijalankan oleh murid-murid. Antaranya ialah mendengar tentang cara untuk membuat kuih, mendengar dari seorang jurujual mengenai sebuah kereta yang akan dibeli, mendengar dn mendapatkan maklumat tentang rumah yang akan dibeli, mendengar dn mendapatkan maklumat maklumat tentang aktiviti-aktiviti yang dilakukan oleh orang tetentu dalam seminggu dan sebagainya.

iv) Membuat ringkasan
Murid-murid mendengar sesuatu petikan dan kemudian membuat ringkasna tentang apa yang telah didengarnya. Petikan itu mungkin boleh dibaca atau dirakam terlebih dahulu. Murid-murid diminta membuat catatan isi-isi penting ketika mendengar sesuatu petikan itu. Ringkasan itu kemudiannya boleh disiapkan dalam bentuk laporan bertulis.

v) Menyelesaikan masalah
Murid-murid mendengar sesuatu maslah dan kemudian diminta berbincang bersama-sama rakan mereka untuk mengatasi masalah tersebut. Murid-murid pada mulanua diminta mendengar masalah itu dengan teliti. Setelah dapat memahami meksudnya, mereka diminta mencari punca masalah tersebut dan selepas itu mencadangkan langkah-langkah untuk mengatasinya. Kadangkala murid-murid diminta memberi penerangan atau mentafsirkan tajuk-tajuk rangsangan secara bernas dan logik. Misalnya, 'Semua orang Melayu bolehbertutur Bahasa Melayu, tetapi bukan semua orang Melayu'. Tajuk seperti ini boleh menggalakkan kemahiran mendengar secara intensif.


Latihan Mendengar Bahasa Yang Dituturkan

Setelah murid-murid memahami dan boleh menanggapi apa yang didengarnya, guru boleh meneruskan kerja mereka selanjutnya secara terperinci bahasa. Pada peringkat awal, murid-murid akan didedahkan kepada bahasa-bahasa yang asli iaitu bahasa yang belum dipermudahkan. Tujuan mendedahkan mereka kepada bentuk bahasa seperti ini adalah untuk menunjukkan kepada mereka bahawa mereka boleh menterjemah sebahagian besaar ciri-ciri bahasa walaupun mereka tidak memahami apa yang diperkatakan. Murid-murid dapat juga menyuburkan keyakinan diri mereka terhadap pembelajaran bahasa di samping memberi mereka peluang mendengar berbagai-bagai bentuk bahasa.
Selain daripada belajar mengenal pasti laras dan tujuan bahasa itu digunakan, guru boleh juga membimbing murid-murid mereka untuk mengesan kesalahan-kesalahan yang terdapat sewaktu bahasa itu dituturkan. Guru boelh membawa perhatian murid-murid kepada aspek-aspek bahasa yang lazim diperkatakan seperti sebutan, intonasi, jeda, nada,tekanan, gaya, bentuk dan struktur serta keslahan-kesalahan seperti ini secara tidak langsung dapat mengukuhkan kemahiran bahasa lisan murid-murid.

b) Mendengar Secara Ekstensif
Latihan mendengar secara ekstensif adalah latihan yang dijalankan setelah murid-murid dapat menguasai kemahiran mendengar secara intensif. Mendengar secara ekstensif ini bertujuan untuk meluaskan penguasaan bahasa secara keseluruhan dan tidak lagi tertumpu kepada pengukuhan struktur tatabahasa atau yang seumpamanya. Latihan mendengar secara ekstensif biasanya dilakukan melalui aktiviti lanjutan daripada kemahiran mendengar yang telah sedia diperolehi.
Mendengar secara ekstensif menekankan aktiviti mendengar secara kritis dan logis. Murid-murid boleh menggunakan buah fikiran mereka untuk memperdebatkan apa yang didengarnya itu. Kemungkinan murid-murid boelh memberi komen daripada apa yang didengarnya, atau melengkapkan cerita, atau mencari isi penting daripada sebuahtafsiran dan sebagainya. Latihan mendengar seperti ini membantu menyediakan murid-murid untuk boleh memberi pandangan dan pendapat serta hujah dengan baik.


BENTUK KEMAHIRAN MENDENGAR

Bentuk-bentuk kemahiran mendengar boleh dibahagikan kepada beberapa jenis. Antaranya ialah:
a) Mendengar secara pasif adalah peringkat kemahiran mendengar yang paling rendah. Pada peringkat ini si pendengar biasanya tidak berupaya menangkap makna keseluruhan ujaran yang dilafazkan dalam sesuatu pertuturan atau percakapan yang didengarnya. Si pendengar juga jarang-jarang dapat memahami dan mengingati serta menyebutkan semula perkara-perkara yang didengar itu.
Banyak perkara yang boleh mendorong kanak-kanak mendengar secara pasif. Antaranya ialah, mungkin kerana bahan yang diperdengarkan itu tidak menarik minat mereka atau kerana bahan itu terlalu sukar untuk difahami dan tidak bermakna kepada mereka.

b) Mendengar Secara Bertelau-telau
mendengar secara bertelau-telau berlaku dilalangan pelajar bahasa kedua. Kemahiran ini lebih tinggi tarafnya daripada kemahiran mendengar secara pasif. Dalam kemahiran ini, pendengar biasanya kurang mampu mendengar dan menangkap bahagian-bahagian ujaran tertentu dalam sesuatu pertuturan. Mereka kurang biasa mendengar dan bertutur atau berkomunikasi dalam bahasa itu.

c) Mendengar Tanpa Tindak Balas
Mendengar tanpa tindak balas bermaksud pelajar-pelajar mendengar tetapi tidak membuat sebarang tindakan selepas itu. Hal ini berlaku kerana si pendengar tidak peka terhadap kata-kata yang diucapkan itu. Mungkin si pendengar tidak memahami sepenuhnya hubungan makna di antara kata-kata dalam ayat-ayat yang diucapkan menyebabkan mereka tiak memberi sebarang reaksi sama ada marah, sedih, simpati atau sebagainya.

d) Mendengar Secara Membuak-buak
Hal ini berlaku dikalangan pelajar bahasa pertama. Pelajar hanya menebuk-nebuk kata atau rangkai kata yang didengar dan mengambilnya untuk tujuan tertentu. Di peringkat ini, kemahiran mendengar pelajar yang menuturkan bahasa itu masih rendah.
Kemahiran mendengar secara menebuk ini juga berlaku di kelangan pelahar bahasa ibunda. Ini berlaku kerana mereka pasti yang mereka cukup berupaya memahami dan menggunakan bahasa sendiri, walhal darjah kefahaman mereka terhadap bahasa itu adalah pada peringkat yang masih lemah.

e) Mendengar Dengan Beremosi
Pada peringkat ini pendengar sudah mula mempunyai kemahiran dalam bahasa yang dituturkannya. Ini dikatakan begitu kerana pendengar dapat merasakan sesuatu hingga memberanngsangkan emosinya. Mereka sudah boleh mendengar, memaham dan bertindak terhadap ujaran tersebut.

f) Mendengar Secara Berhati-hati
Mendengar di peringkat ini memerlukan seseorang itu mendengar dengan teliti dan secara bersungguh-sungguh. Dia harus menumpukan pendengarannya terhadap kata demi kata, rangkai kata demi rangkai kata dan ayat demi ayat di dalam sesuatu percakapan itu. Tujuan mendengar dengan teliti setiap ujaran yang dilafazkan ituadalah untuk menentukan supaya setiap butir yang dituturkan itu dapat difahami dengan tepat dan betul.

g) Mendengar Secara kritikal
Mendengar secara kritikal biasanya berlaku setelah seseorang itu dapat menguasai kemahiran berbahasa dengan baik. Pada peringkat ini kemahiran mendengar si pendengar itu telah mencapai tahap yang tinggi. Dia boleh menentukan kesahihan sesuatu fakta yang didengarnya.

h) Mendengar Dengan Pengamatan
Mendengar dengan pengamatan biasanya berlaku di kalangan pelajar yang sudah boleh berfikir secara kritikal. Mendengar cara ini akan lebih bermakna jika proses mendengar itu berdasarkan kepada pengalaman si pendengar. Ini bermakna si pendengar itu akan lebih mudah memahami sesuatu ujaran yang dilafazkan jika ujaran-ujaran itu ada pertalian dengan pengalamannya.

i) Mendengar Secara Kreatif
Kemahiran mendengar secara kreatif adalah kemahiran yang paling tinggi dan ia manjadi matlamat pengajaran bahasa lisan di peringkat mendengar. Pada peringkat ini, si pendengar akan menggunakan daya kreatifnya untuk mencipta sesuatu setelah ia dapat mendengar dengan baik sesuatu pertuturan. Ini bermakna ia dapat memahami ujaran-ujaran yang dikemukakan kepadanya dengan baik. Ia juga boleh membuat interpretasi, mengkritik dan membuat ulasan dan komen yang bernas dan jitu.

No comments:

Post a Comment