Kisah 4 orang isteri - JAGALAH YANG PERTAMA
Suatu ketika, ada seorang pedagang kaya yang mempunyai empat orang  isteri. Dia mencintai isteri yang keempat dan memberikan harta dan  kesenangan yang banyak. Sebab, isteri keempat adalah yang tercantik di  antara kesemua isterinya. Maka, tidak hairan lelaki ini sering  memberikan yang terbaik untuk isteri keempatnya itu.
Pedagang itu juga mencintai isterinya yang ketiga. Dia sangat bangga  dengan isterinya ini, dan sering berusaha untuk memperkenalkan isteri  ketiganya ini kepada semua temannya. Namun dia juga selalu bimbang  kalau-kalau isterinya ini akan lari dengan lelaki yang lain.
Begitu juga dengan isterinya yang kedua. Dia juga sangat menyukainya.  Dia adalah seorang isteri yang sabar dan penuh pengertian. Bila-bila  masa pun apabila pedagang ini mendapat masalah, dia selalu meminta  pandangan isterinya yang kedua ini. dialah tempat bergantung. Dia selalu  menolong dan mendampingi suaminya melalui masa-masa yang sulit.
Sama halnya dengan isterinya yang pertama. Dia adalah pasangan yang  sangat setia. Dia sering membawa kebaikan bagi kehidupan keluarga ini.  dialah yang merawat dan mengatur semua kekayaan dan usaha si suami. Akan  tetapi si pedangang tidak begitu mencintainya. Walaupun isteri  pertamanya ini begitu sayang kepadanya namun, pedagang ini tidak begitu  memperdulikannya.
Suatu ketika, si pedagang sakit. Kemudian dia menyedari mungkin masa  untuknya hidup tinggal tidak lama lagi. Dia mula merenungi semua  kehidupan indahnya, dan berkata dalam hati, “Saat ini, aku punya empat  orang isteri. Namun, apabila aku meninggal, aku akan sendiri. Betapa  menyedihkan jika aku harus hidup sendiri.”
Lalu dia meminta semua isterinya datang dan kemudian mulai bertanya  pada isteri keempatnya, “Kaulah yang paling kucintai, kuberikan kau gaun  dan perhiasan yang indah. Nah sekarang, aku akan mati, mahukah kau  mendampingiku dan menemaniku?” Isteri keempatnya terdiam. “Tentu saja  tidak!” jawab isterinya yang keempat, dan pergi begitu sahaja tanpa  berkata-kata lagi. Jawapan itu sangat menyakitkan hati seakan-akan ada  pisau yang terhunus dan menghiris-hiris hatinya.
Pedagang yang sedih itu lalu bertanya kepada isteri ketiganya, “Aku  pun mencintaimu sepenuh hati, dan saat ini, hidupku akan berakhir.  Mahukah kau ikut denganku, dan menemani akhir hayatku?”. Isteri  ketiganya menjawab, “Hidup begitu indah di sini. Aku akan menikah lagi  jika kau mati”. Pedagang begitu terpukul dengan jawapan isteri ketiganya  itu.
Lalu, dia bertanya kepada isteri keduanya, “Aku selalu berpaling  padamu setiap kali mendapat masalah. Dan kau selalu mahu membantuku.  Kini, aku perlu sekali pertolonganmu. Kalau aku mati, mahukah kau ikut  dan mendampingiku? ” Si isteri kedua menjawab perlahan, “Maafkan aku tak  mampu menolongmu kali ini. Aku hanya boleh menghantarmu ke liang kubur  saja. Nanti, akan kubuatkan makam yang indah buatmu.”
Jawapan itu seperti kilat yang menyambar. Si pedagang kini berasa putus asa.
Tiba-tiba terdengar satu suara, “Aku akan tinggal denganmu. Aku akan  ikut ke manapun kau pergi. Aku, tak akan meninggalkanmu, aku akan setia  bersamamu.” Si pedagang lalu menoleh ke arah suara itu dan mendapati  isteri pertamanya yang berkata begitu. Isteri pertamanya tampak begitu  kurus. Badannya seperti orang yang kelaparan. Berasa menyesal, si  pedagang lalu berguman, “Kalau saja aku mampu melayanmu lebih baik pada  saat aku mampu, tak akan kubiarkan kau seperti ini isteriku.”
Teman, sesungguhnya kita punya empat orang isteri dalam hidup ini;
ISTERI KEEMPAT adalah tubuh kita. Seberapa banyak  waktu dan belanja yang kita keluarkan untuk tubuh kita supaya tampak  indah dan gagah, semuanya akan hilang. Ia akan pergi segera apabila kita  meninggal. Tak ada keindahan dan kegagahan yang tersisa saat kita  menghadapNYA.
ISTERI KETIGA adalah status sosial dan kekayaan  kita. Saat kita meninggal, semuanya akan pergi kepada yang lain. Mereka  akan berpindah dan melupakan kita yang pernah memilikinya.
ISTERI KEDUA pula adalah kerabat dan teman-teman.  Seberapa pun dekat hubungan kita dengan mereka, mereka tak akan mampu  bersama kita selamanya. Hanya sampai kuburlah mereka akan menemani kita.
DAN SESUNGGUHNYA ISTERI PERTAMA adalah jiwa dan amal  kita. Mungkin kita sering mengabaikan dan melupakannya demi kekayaan  dan kesenangan peribadi. Namun, sebenarnya, hanya jiwa dan amal kita  sajalah yang mampu untuk terus setia dan mendampingi kemanapun kita  melangkah. Hanya amal yang mampu menolong kita diakhirat kelak. Jadi, selagi mampu, perlakukanlah jiwa dan amal kita dengan bijak. Jangan sampai kita menyesal kemudian hari! 

 
nice entry. salam kenal :)
ReplyDeleteTerima kasih...ambil la sebagai pedoman kalau berniat nak nikah 4 :-)
ReplyDelete