Haid adalah suatu keadaan fisiologi
yang tetap dan teratur. Ia dialami oleh wanita yang berada dalam lingkungan
umur yang berupaya untuk mengandung. Semasa kedatangan haid, seseorang wanita
akan kehilangan darah. Tempoh reproduktif seseorang wanita dicirikan dengan
perubahan ritmik pada rembesan hormon yang diperlukan untuk pembiakan. Corak
ritmik ini dikenali sebagai kitaran seksual wanita atau kitaran haid.
Fungsi kitaran haid
ialah menghasilkan telur (ovum) yang matang daripada ovari dan menyediakan
lapisan dalam rahim untuk implantasi embrio. Jika tidak berlaku persenyawaan,
telur akan mengalami degenerasi dan dibuang bersama bahan-bahan lain yang
keluar daripada tubuh wanita melalui saluran vagina.
Proses haid akan
membuang keluar darah, mukus/lendiran dan sel-sel yang sudah mati. Proses ini
berlaku dalam tempoh yang agak tetap daripada masa akil baligh sehinggalah
menopaus (putus haid) kecuali semasa mengandung dan penyusuan. Proses
haid bermula daripada umur 12 atau 13 tahun tetapi kadangkala seawal umur
10 tahun dan selewat-lewatnya 16 tahun. Permulaan haid banyak bergantung kepada
beberapa faktor seperti kaum, genetik, suhu persekitaran dan status nutrisi
serta pemakanan. Putus haid berlaku pada purata umur 47 tahun (julat umur
antara 45 hingga 55 tahun). Purata tempoh kitaran haid bagi wanita yang normal
ialah 28 hari. Hari pertama haid dianggap sebagai hari pertama bagi setiap
kitaran baru. Setiap kitaran bagi seorang wanita yang normal dan sihat ialah di
antara 20 hingga 45 hari. Perbezaan tempoh kitaran bergantung kepada umur.
Tempoh aliran keluar haid juga berbeza-beza.
Purata kitaran haid
di kalangan gadis ialah 6.6 hari manakala pada umur 21 tahun, purata tempoh
haid menjadi enam hari sehinggalah mencapai tahap putus haid. Lebih kurang lima
peratus wanita yang sihat datang haid kurang daripada empat hari dan lima
peratus lagi wanita yang mengalami lebih daripada lapan hari. Jumlah purata
darah dan tisu yang hilang semasa kedatangan haid ialah 70 ml. Wanita yang
berumur kurang daripada 35 tahun akan kehilangan darah lebih banyak berbanding
wanita yang berumur 35 tahun ke atas.
Jumlah keseluruhan
cecair badan yang hilang semasa haid ialah di antara 60 hingga 200 ml.
Sesetengah wanita
akan mengalami simtom atau gejala yang tidak selesa dalam tempoh haid tersebut.
Di dalam tempoh tersebut wanita akan mengalami masalah seperti sakit kepala,
pengumpulan cecair, ketegangan payu dara, mudah meradang, keresahan, sakit
tulang belakang, kesakitan dan kekejangan pada bahagian abdomen serta tekanan
perasaan.
Kehadiran dan
keterukan gejala ini berbeza-beza di kalangan wanita. Masalah ini boleh dibantu
oleh ahli farmasi atau diurus sendiri oleh wanita tersebut. Mereka yang
mengalami masalah tersebut yang berkunjung ke kedai farmasi akan ditemubual
untuk memastikan keterukan masalah dan sama ada wanita berkenaan harus
mendapatkan pemerhatian doktor. Temubual ini juga dapat membantu ahli farmasi
untuk menilai masalah pesakit dan memilih atau menyarankan produk atau ubat yang
sesuai dan berkesan bagi mengatasi masalah tersebut
No comments:
Post a Comment